Posted by: elllevena | July 12, 2009

Hadiah: Dari PM atau BN?

Oleh Fikri Harun

12 Julai 2009. Saya menyambut baik hadiah yang diberi Perdana Menteri kita baik bersempena 100 hari pentadbirannya mahupun pilihanraya kecil Manek Urai.

Biarpun hakikatnya saya tidak merasainya secara langsung kerana saya bukanlah pemilik Touch n Go mahupun Smart Tag dan tidak juga melalui tol 3 kali sehari sebulan; tidak bercadang untuk membeli unit amanah saham 1Malaysia (yang terbaru setelah Amanah Saham Malaysia – mujur tiada Amanah Saham Islam Hadhari) kerana sudah pun memiliki yang terbaik diantaranya (Amanah Saham Bumiputera); sudahpun menjalani latihan menunggang motosikal; bukan  penyewa rumah PPR di Wilayah Persekutuan yang ingin membeli rumah yang disewa sekarang, juga bukan penjaja dan peniaga kecil di sana; bukan pemandu atau pengusaha teksi; bukan penduduk Sabah mahupun Sarawak yang ingin mendaftar kelahiran anak, menagih kemudahan jalanraya atau bekalan air dan elektrik; bahkan tidak terlibat langsung dengan Tekun.

Segalanya bukan tentang saya. Tapi adakah ini bermakna saya juga bukan rakyat Malaysia? Perdana menteri menyifatkan keputusannya berkaitan hadiah ini adalah keputusan istimewa untuk rakyat Malaysia. Namun, di manakah keistimewaannya kepada saya yang juga rakyat Malaysia?

Ya benar, kita tidak mungkin mampu memuaskan hati semua pihak, tetapi cukuplah kiranya kita dapat melakukannya kepada banyak pihak. Persoalannya, adakah banyak pihak yang mendapat keistimewaan itu atau lebih banyak yang dilepas pandang?

Saya bukan hanya ingin mengkritik mahupun mencari salah, namun keputusan-keputusan dan pengumuman-pengumuman bersifat populis sebegini sering saja bermain di bibir para pemimpin kita baik dari sayap kanan mahupun kiri. Hingga bila lagi rakyat Malaysia akan di taburkan gula-gula sebegini?

Berkaitan kemiskinan bandar contohnya, adakah dengan memberikan 10,000 unit Skim Amanah Saham Wawasan untuk 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar mampu memerangi kemiskinan bandar? Kita dikelabukan mata oleh para pemimpin dengan permainan angka (10000). Walhal, bukankah dengan memberikan mereka pekerjaan yang akan menjadi punca pendapatan berterusan itu adalah lebih baik berbanding memanjakan mereka dengan imbuhan-imbuhan yang hanya bersifat sementara?

Hal yang sama juga berkenaan pemberian diskaun pada pengguna lebuhraya. Bukan kesemuanya kita adalah pemilik Touch n Go juga Smart Tag. Dan juga untuk menggunakan lebuhraya dan melalui tol 2 hingga 3 kali setiap hari untuk mencapai sasaran 80 kali sebulan semata-mata untuk menikmati 20%, ianya kelihatan tidak masuk akal untuk rakyat kebanyakan. Hal ini seperti mengulang pengumuman populis suatu ketika dulu tentang diskaun 10% kepada pengguna lebuhraya yang melalui tol di antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi keesokannya. Perkara-perkara sebegini memperlihat seolah-olah kerajaan tidak ikhlas dalam percubaan membantu rakyat.

Seandainya kita ingin menjalankan perniagaan, kita haruslah mengkaji terlebih dahulu tentang sasaran pasaran (target market) kita sebelum meneruskan perancangan perniagaan ke tahap perlaksanaan. Begitu jugalah dalam hal ini. Soalan mudah dari saya untuk Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri khususnya, golongan rakyat yang manakah yang menjadi sasaran kerajaan dalam usaha memberikan bantuan sebegini?

Pertanyaan ini saya usulkan kerana saya amat yakin bahawa sesungguhnya kerajaan dan PM bukannya terlepas pandang, tetapi mungkin mempunyai tujuan lain (hidden agenda) di sebalik pengumuman ‘kebajikan’ sebegini. Saya merasakan keputusan yang dibuat tidak dikaji seperincinya terlebih dahulu, dan hanya bersifat populis. Lihat saja fakta ini: PM membuat 11 pengumuman tentang  11 hadiah, bersempena 100 hari pentadbirannya yang jatuh pada tanggal 11 Julai, dan ucapannya bermula sebaik jam 11.11 pagi. Kenapa tidak 12 hadiah? Adakah 11 sudah mencukupi untuk seluruh ataupun setidak-tidaknya kebanyakan rakyat?

Pada hemat saya, yang benar-benar kelihatan seperti pemberian hanya 10 dari 11. Lihatlah pada hadiah yang 1 ini: kerajaan akan mengambil langkah-langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini, dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini. Adakah ini juga hadiah? Atau 1 lagi janji kosong yang hangat-hangat tahi ayam? Mungkin juga barisan pemikir PM sudah kekeringan idea untuk melengkapkan kesebelasan utama ini.

Tentang Tekun dan peruntukan  RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India, jelas dari kaca mata saya, PM ingin menambat hati mengumpan sokongan dari masyarakat India. Begitu juga halnya tentang penduduk Sabah dan Sarawak yang masih terus menerima pemberian walaupun sudah terlalu banyak diperuntukkan dalam belanjawan negara. Melihat keadaan ini, saya lebih gemar mengatakan ini bukan pemberian dari kerajaan kepada rakyat, tapi dari parti politik kepada prospek pengundinya. Tambahan pula pilihanraya Manek Urai menjelang tiba. Fikir-fikirkanlah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: