Tentang Kami

elllevena Think Tank ialah sebuah kumpulan pemikir reformasi celik yang ditubuhkan secara tidak rasmi oleh sebuah syarikat bumiputera yang didaftarkan dengan nama Elllevena Enterprise untuk memperkenal idea-idea baru yang kreatif dan kritis dari perspektif yang pelbagai kepada Malaysia; juga menyuarakan pandangan-pandangan jujur dan penuh tanggungjawab tentang isu-isu semasa antarabangsa amnya dan Malaysia khususnya; selain berkongsi pengalaman dan kisah-kisah sekitar kehidupan – ke arah mereformasi Malaysia – dengan menjadikan blog ini (elllevenathinktank.wordpress.com) sebagai pengantara.

Gerak kerja eTT dipacu oleh idea-idea kreatif dan kritis yang bernas dan membina; dan kami mendokong prinsip bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab,  haram dizalimi, diaibkan, di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil.

Kami juga dengan tegas berpendirian bersama menyokong segala usaha bagi menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah; mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi; memperjuang keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama; membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya; memperkukuh jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya; dan membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan. Namun, segala usaha ini haruslah digerakkan dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

eTT ditubuhkan hasil dari minat dan kecenderungan beberapa anak muda Malaysia terhadap isu-isu semasa – baik yang dipandang sebelah mata mahupun yang mengundang percanggahan pandangan dan pertikaman lidah – setelah menyedari bahawa terdapat keperluan untuk sama-sama bersuara dan mempromosi idea-idea tersendiri kepada Malaysia dalam usaha membawa angin perubahan yang lebih baik.

Meskipun eTT dibarisi bukan oleh tokoh-tokoh tersohor mahupun pemikir-pemikir mahsyur, namun kami percaya hatta pencacai najis sekalipun layak untuk berfikir dan berkongsi fikiran, malah menjadi sebahagian dari kami, andai dia seorang yang celik dan memainkan peranan yang sewajarnya dalam melakukan reformasi terhadap masyarakat.

Kami di eTT ingin lari dari norma masa kini, di mana peranan mahasiswa hanyalah menjadi modal insan yang semata-mata bertujuan menyempurna keperluan tenaga kerja para kapitalis. Seharusnya, mahasiswa menjadi jambatan ilmu dari menara gading yang ekslusif kepada masyarakat am yang tertindas.

Mengapa kami memilih reformasi sebagai teras perjuangan kami adalah kerana kami melihat para Nabi sebagai pemimpin reformasi yang berjuang untuk mereformasi struktur fundamental pada zaman dahulu. Para Nabi selalunya lahir dari kalangan rakyat kebanyakan dan justeru boleh berkomunikasi dengan mereka (masyarakat umum) dalam memperjuang moto baru, memperkenal visi baru, dan memberi tenaga baru dalam kesedaran rakyat di era mereka.

Pergerakan konstruktif para Nabi yang mempunyai unsur reformasi menyebabkan masyarakat umum bangun serta mereformasi arah hidup, cara hidup, perspektif, budaya dan destinasi mereka. Justeru, kami di eTT setelah mengambil kira suasana dan kondisi semasa masyarakat dan negara, bertekad memperjuang gerakan reformasi dengan cara kami yang tersendiri selain bersama menyokong gerakan-gerakan seumpamanya.

elllevena Think Tank